Hiburan: July 3, 2019 at 07:04AM
Pernah atau tidak anda terdengar kisah rumors mengenai roh terbangun dari jasad manusia? Memang sukar untuk mempercayai akan kebenaran seperti ini kerana tidak semua terpilih melalui pengalaman ghaib. Perkongsian dari Zulkairnain Zakaria mengenai pengalaman dan kisah benar kakaknya sedar roh terbangun dari jasad ketika tidur. Perkongsian dari lelaki ini juga disertakan dengan hujahan dan konsep Out of Body Experience dari George N. M. Tyrell. Menarik juga penjelasan dari aspek sains terhadap persoalan roh dan jasad ini!
Rohku melayang ke angkasa
Bagaimana rasanya mati? Bagaimana rupa roh? Apakah perasaan kita apabila melihat roh keluar meninggalkan jasad dan kemudian melayang ke suatu destinasi yang tidak kita ketahui pengakhirannya? Soalan terakhir, apakah nasib yang bakal kita tempuhi nanti?
Kisah ini diceritakan oleh kakak saya sendiri, Maznah. Begini cerita Maznah. Sekitar pukul 2.00 pagi, dia yang sedang tidur di katil, tidak semena-mena terjaga dan terus duduk. Suasana ketika itu dirasakannya begitu aneh. Dia memandang sekeliling, masih di bilik tidurnya. Tetapi apabila menoleh ke belakang, Maznah terkejut… "Eh… kenapa badan aku masih baring?"
Maznah pelik, mengapa ketika dia duduk itu, ada satu lagi jasad dirinya yang sedang baring di atas katil? Bagaimana boleh ada dua? Mana satu dirinya yang sebenar? Yang sedang duduk, atau yang sedang baring? Atau… kini rohnya sedang keluar dari tubuh dan bersiap sedia untuk meninggalkan jasad?
Maznah kemudian merasakan tubuhnya menjadi terlalu ringan, seringan kabus. Perlahan-lahan dirinya terangkat ke udara dan keluar menembusi dinding serta kipas-kipas di atas daun tingkap bilik tidurnya.
Dirinya kemudian melayang naik ke angkasa, jauh dan sayup, bagaikan tiada penghujungnya. Sejuk. Sunyi dan sepi sekali. Aku di mana? Ke mana aku akan pergi? Maznah berasa terlalu takut. Dia mengucap syahadah berulang-ulang kali, dan… `PRAPPP!!' kedengaran bunyi yang kuat.
Tidak sama dengan mimpi
Serentak itu Maznah membuka mata. Dia memandang sekeliling dan mendapati dirinya sedang baring di katil. Dirinya yang tadi terawang di angkasa, dalam sekelip mata hilang begitu saja. Mimpi? Tidak. Sebab semuanya rasa benar-benar berlaku. Ia tidak sama dengan mimpi. Macam di alam nyata.
Cerita yang hampir sama berlaku kepada seorang kawan saya bernama Udin. Usianya sekarang 56 tahun dan kejadian ini berlaku ketika dia berusia pertengahan 20-an. Masa sedang nakal lagi dan suka menghisap ganja. Suatu malam, Udin overdose sampai dia tidak mampu berjalan. Hanya mampu merangkak saja, kemudian terbaring di atas lantai.
Tiba-tiba Udin melihat suatu jelmaan yang menyerupai dirinya, perlahan-lahan keluar daripada tubuhnya. Jelmaan berpakaian serba putih itu bangun, seterusnya bergerak perlahan-lahan menuju ke pintu bilik yang sedia terbuka.
"Rupanya memang sama dengan aku. Dia pandang aku, kemudian berpaling ke luar dan beransur-ansur jauh. Masa tu aku betul-betul takut. Aku terus angkat kedua-dua tangan dan kiam. Aku mengucap dalam hati sebanyak yang boleh.
"Dalam hati aku cakap, "Aku dah nak mati dah ni." Bagi aku, masa tu yang keluar dari tubuh aku adalah roh aku. Dia dah nak pergi tinggalkan aku dan aku bila-bila masa saja akan mati."
Udin memejamkan matanya dan bersedia untuk menerima kedatangan Izrail. "Esoknya aku terjaga. Syukur… aku masih hidup lagi. Sejak tu aku tak berani lagi ambil dadah. Taubat. Kalau aku mati masa tu, tak taulah nasib aku kat sana sekarang…" cerita Udin.
Roh atau Out of Body Experience (OBE)?
Adakah roh Maznah dan Udin telah keluar dari jasadnya, kemudian kembali semula? Adakah itu yang dirasai apabila roh seseorang meninggalkan tubuhnya?
Di dalam Islam, roh termasuk dalam perkara ghaib (samiyyat). Tiada siapa mengetahui bagaimana rupa roh, kecuali Allah s.w.t.. Dalam kajian sains dan paranormal pula, apa yang berlaku kepada Maznah dan Udin itu dinamakan sebagai Pengalaman Keluar Dari Tubuh (Out of Body Experience – OBE).
Konsep ini diperkenalkan oleh George N. M. Tyrell melalui bukunya, Appirations (1943). Para pengkaji kemudian melebarkan istilah ini kepada Soul Travel, Spirit Walking dan Astral Projection.
Konsepnya tetap sama iaitu seseorang itu merasa seperti rohnya keluar daripada jasad, terawang-awang di udara, memasuki alam lain, tidak berupaya untuk berinteraksi dengan alam nyata dan kemudian kembali semula ke dalam jasad. Lazimnya ia diakhiri dengan bunyi yang kuat.
OBE berlaku di seluruh dunia, tidak terbatas kepada bangsa, agama atau geografi. Ia terjadi kerana pelbagai faktor seperti tidur yang terganggu, kesan ubat, dadah, tekanan emosi, keletihan serta sawan.
Oleh sebab itu, jangan berasa pelik kalau seorang penghidap sawan memberitahu dia merasa rohnya keluar dari tubuh, melayang ke siling wad dan dapat melihat dirinya terbaring di katil sambil doktor serta jururawat bertungkus lumus merawatnya.
Selain itu, OBE boleh berlaku akibat trauma, dehidrasi, rangsangan elektrik pada otak dan sebagainya. Sains juga mentafsirkannya sebagai halusinasi. Ia berpunca daripada pelbagai faktor saraf dan psikologi.
OBE paling mudah difahami sebagai mimpi yang berlaku pada peringkat antara tidur dan jaga. Untuk pengetahuan anda, kita mengalami mimpi ketika tidur berada di peringkat tidur dengan gerakan mata yang cepat (Rapid Eye Movement – REM).
Otak kita mahu bangun secara mendadak, tetapi tubuh masih lagi dalam keadaan tidur. Keadaan inilah yang menyebabkan mimpi yang berlaku dirasakan benar-benar terjadi di alam nyata (Lucid dream). Konsep ini hampir serupa dengan kelumpuhan tidur (Sleep paralysis) cuma kelumpuhan tidur tidak melibatkan sensasi roh.
Sebahagian pengkaji lain berpandangan, OBE hanyalah permainan minda yang cuba menalar suatu pengalaman yang belum pernah seseorang itu rasai. OBE hampir sama dengan konsep Pengalaman Hampir Mati (Near Death Experience – NDE), tetapi bezanya…! Ops, nanti kita sambung kemudian.
Sumber: Zulkairnain Zakaria
Klik pautan ini untuk baca sepenuhnya
No comments:
Post a Comment