Hiburan: March 19, 2020 at 04:31AM
Pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menangani virus COVID-19 adalah sesuatu yang luar biasa. Mereka terpaksa meninggalkan keluarga demi merawat dan mencegah wabak daripada terus merebak. Dalam keadaan genting sekarang ini, mereka sendiri berisiko terdedah kepada virus yang boleh membawa maut.
Doktor Ahmad Luqman Bukhari menceritakan keadaan semasa petugas hospital yang sebenarnya juga tidak keruan. Mereka hampir menitiskan air mata apabila ditanya perasaan dihadapi sekarang ini.
Perasaan tak keruan, hampir menitis air mata
(Sekadar gambar hiasan)
"Jujur je. Siapa kat sini yang dah ada rasa burnout?"
Senyap seketika suasana perhimpunan pagi tu. Dah jadi kebiasaan untuk kami semua berkumpul sebelum tugasan shift pagi bermula. Pakar perubatan, doktor senior, doktor junior semua sekali ada. Masing-masing menunduk ke bumi. Adalah seorang dua yang menoleh ke kiri dan kanan, tanda memerhati sekeliling.
Selang beberapa saat, bos ulang balik soalan yang sama. Tak lama kemudian, seorang demi seorang mula mengangkat tangan. Perlahan-lahan. Usai dihitung, rupanya ramai yang sedang mengalami masalah serupa. Ada yang wajahnya nampak ceria, tapi sebenarnya hati terbendung perasaan tak keruan. Ada juga yang kelihatan sebak, hampir-hampir menitiskan air mata pada waktu tu.
Masakan tidak, tatkala orang ramai pulang berlindung di rumah, menjauhi kebarangkalian dijangkiti virus covid-19, mereka di situ kekal setia menyantuni pesakit. Pada masa orang lain melindungi anak sendiri dari bahaya, ada antara kami bertawakkal terpaksa menyerahkan tugas murni tu pada penjaga lain. Yang langsung tak ada pertalian darah daging.
Pada masa orang lain memikirkan kesihatan diri sendiri, kami berserabut memikirkan kesihatan orang lain. Pada saat cuaca panas membahang, kami terpaksa memakai pakaian keselamatan yang mengumpul haba, bahkan ada yang berterusan sehingga 14 jam. Merah padam muka beserta tubuh yang lencun dibasahi peluh.
Stress.
Burnout.
Depression.
Resources yang tak cukup.
Kami yakin inilah jihad kami
(Sekadar gambar hiasan)
Risiko tinggi dapat penyakit berjangkit. Bahkan berisiko pula bawa pulang jangkitan pada ahli keluarga. Bila bergabung semua tu, kesannya besar pada kualiti perkhidmatan serta kuliti hidup habis terjejas teruk. Namun bila diingat sabda Nabi, ia sedikit sebanyak memberikan kami tenaga untuk terus berdiri.
''Tiada seorang pun yang menziarahi saudara seislamnya yang sakit pada waktu pagi melainkan 70 ribu malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat hingga ke waktu petang.
Sekiranya dia menziarahi saudara seislamnya pada waktu petang, maka 70 ribu malaikat akan mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah hingga ke waktu pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah buahan syurga yang boleh dipetik bila bila masa.'' – Riwayat Al- Tarmizi
Itu berkat bagi yang berziarah. Harapnya kami yang beri sedikit sumbangan dalam proses merawat, Tuhan sudi hadiahkan lebih dari itu lagi. Kami yakin inilah jihad kami.
Besar harapan kami agar kalian jaga diri dan keluarga baik-baik. Patuhi segala arahan yang dikeluarkan kerajaan. Berlindung di rumah. Tak usah keluar jika tiada keperluan. Kekalkan jarak 2 meter terutama bila berhadapan dengan mereka yang bergejala. Avoid mass gathering. Hubungi segera CPRC jika ada simptom.
Tak usah sebarkan maklumat palsu menambah panik masyarakat. Berhenti politikkan semua isu. Dan dalam masa sama panjatkanlah seribu doa kebaikan buat kami semua yang berada di barisan hadapan.
Mudah-mudahan angin mendung yang membawa ujian besar ini segera berlalu pergi.
Dr Ahmad Luqman Bukhari,
Kita cegah bersama ya.
Sumber : Dr Ahmad Luqman Bukhari
Klik pautan ini untuk baca sepenuhnya
No comments:
Post a Comment