Hiburan: April 19, 2020 at 05:02AM
Penyakit parkinson adalah penyakit yang disebabkan oleh gangguan pada sistem saraf yang memberi kesan kepada keupayaan individu untuk bergerak. Simptom penyakit Parkinson akan merosot dari semasa ke semasa dan selalunya bermula dengan sebelah tangan menggigil tanpa sebab. Selain mengalami simptom tersebut, pesakit parkinson juga mengalami kekakuan pada otot (muscle tightness).
Menerusi Facebook Dr Zubaidi Hj Ahmad, beliau berkongsi mengenai punca, simptom dan tips merawat penyakit parkinson yang mungkin korang tak tahu. Jom baca!
Pertuturan pesakit tidak jelas dan perlahan
Pada peringkat awal penyakit Parkinson, pesakit kebiasaannya kelihatan kurang menunjukkan ekspresi wajah. Selain itu, pemerhatian ketika pesakit berjalan juga akan mendapati pesakit Parkinson kurang menghayunkan tangan mereka ketika berjalan. Pertuturan pesakit akan menjadi tidak jelas dan perlahan. Simptom-simptom tersebut akan beransur-ansur bertambah teruk dari semasa ke semasa.
Walaupun penyakit Parkinson tidak boleh diubati, pengambilan ubat-ubatan boleh menangani simptom-simptom yang pesakit hadapi. Hanya dalam sesetengah kes, doktor akan mencadangkan pesakit untuk menjalani pembedahan bagi mengatasi simptom-simptom yang dihadapi oleh mereka.
Punca-punca penyakit parkinson
Penyakit Parkinson adalah disebabkan oleh sesetengah sel-sel saraf atau neuron tidak berfungsi dengan baik ataupun mati. Kebanyakan simptom yang dialami oleh pesakit adalah berkaitan dengan kekurangan dopamine. Dopamine adalah bahan kimia penghantar yang menghantar maklumat ke otak.
Apabila paras dopamine menurun, aktiviti-aktiviti di dalam otak akan menjadi tidak normal dan seterusnya menimbulkan tanda-tanda penyakit Parkinson. Penyebab sebenar penyakit Parkinson masih belum diketahui namun beberapa faktor telah dikenalpasti memainkan peranan penting dalam berlakunya penyakit Parkinson iaitu :
1. Unsur genetik
Para penyelidik mendapati mutasi yang berlaku pada unsur genetik yang tertentu boleh menyebabkan penyakit Parkinson berlaku namun ianya jarang sekali berlaku.
2. Faktor persekitaran
Terdedah kepada bahan toksik adalah antara faktor persekitaran yang boleh meningkatkan risiko penyakit Parkinson.
Simptom-simptom parkinson
Simptom yang dihadapi oleh pesakit Parkinson adalah tidak sama antara satu pesakit dengan pesakit yang lain. Terdapat kemungkinan simptom-simptom awal penyakit Parkinson tidak disedari oleh penghidapnya. Antara tanda-tanda dan simptom penyakit Parkinson adalah :
1. Menggigil tanpa sebab. Lazimnya bermula pada tangan atau jari
2. Pergerakan menjadi perlahan (bradykinesia). Pesakit parkinson akan hilang keupayaan untuk bergerak normal dan pergerakan menjadi perlahan.
3. Kekakuan pada otot boleh memberi kesan kepada pergerakan anggota badan pesakit selain menimbulkan kesakitan dan ketidakselesaan.
4. Masalah postur dan ketidakseimbangan. Pesakit parkinson mempunyai kemungkinan untuk mengalami masalah yang melibatkan postur tubuh dan keseimbangan.
5. Hilang keupayaan untuk bergerak secara automatik. Pesakit parkinson lazimnya mengalami kesukaran bagi melakukan pergerakan automatik seperti mengelipkan mata, senyum ataupun menghayun tangan ketika berjalan.
6. Perubahan pertuturan. Pesakit parkinson akan bertutur dengan suara yang perlahan tetapi laju, butir percakapan kedengaran tidak jelas dan teragak-agak sebelum memulakan percakapan. Nada percakapan juga lebih kepada monotone berbanding dengan nada percakapan orang normal.
7. Mereka akan mengalami kesukaran untuk menulis.
Tips merawat
Penyakit ini memang rumit dan sesetengah pesakit mengalami kesukaran untuk menghadapi penyakit ini. Berikut adalah beberapa tip untuk menangani gejala penyakit Parkinson.
1. Senaman
Ia boleh membantu pesakit Parkinson mengawal pergerakan dengan lebih baik, mengurangkan masalah gaya berjalan dan kecederaan sendi/otot, meningkatkan kekuatan otot, meningkatkan tenaga, stamina dan kesihatan jantung anda. Jangan lupa dapatkan khidmat nasihat doktor sebelum terlibat dengan apa-apa aktiviti fizikal.
2. Diet
Pemakanan yang baik boleh mengurangkan risiko kemasukan ke hospital di kalangan pesakit Parkinson seperti patah tulang, kekurangan air, sembelit, dan susut berat badan. Amalkan tabiat pemakanan berikut bagi membantu mengurangkan masalah tersebut:
a) Minum enam hingga lapan gelas air sehari, walaupun anda tidak haus.
b) Lebihkan makanan seperti prun, sayur-sayuran, dan makanan yang tinggi serat.
c) Makan sesuatu yang sejuk dan masam sebelum makan untuk mengelakkan mulut kering.
3. Tidur
Penyakit parkinson boleh mengganggu tidur anda. Untuk mendapatkan tidur yang berkualiti, elakkan alkohol dan makanan yang mengandungi kafein terutama pada waktu malam. Kurangkan pengambilan air sebelum tidur, amalkan waktu tidur dan bangun yang sama pada setiap hari dan elakkan juga dari terlebih tidur.
4. Sokongan
Hidup dengan penyakit parkinson boleh mencetuskan pelbagai masalah emosi, seperti kejutan diagnosis, kemurungan, kemarahan dan kekecewaan dengan cabaran fizikal. Langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah emosi ialah mengekalkan komunikasi terbuka dan jujur dengan keluarga, rakan-rakan, dan penjaga anda. Sertai kumpulan sokongan seperti Persatuan Parkinson Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan perasaan. Dapatkan bantuan pekerja sosial dan kaunselor yang boleh memberikan sokongan sosial.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Klik pautan ini untuk baca sepenuhnya
No comments:
Post a Comment