Resepi: April 10, 2020 at 08:30AM
Assalammualaikum, salam semua. Pagi tadi lepas masak, che mat mula lah dok fikir, hmmm nak buat apa yea untuk minum petang. Sebenarnya style minum petang kami bukan lah cerewet sangat. Ada biskut krim kraker pun dah ok. Tapi saja lah kan, sejak2 berkurung ni, tangan tu gatal ajer nak buat benda2 makan, bahaya betul. Fikir punya fikir, eh jomm lah buat donat, lama juga tak buat. Tapi takmo buat banyak, sebab kat rumah che mat ada 3 orang saja, che mat, mak dan abang long. Setakat 7 - 8 biji dah cukup sangat. Tapi kalau buat lebih pun takpe sebenarnya, boleh simpan, yea dak. Tengok tepung dalam peti sejuk, ehh ada tak banyak lah, ok, kita buat sikit cukuplah. Maka che mat gunalah resipi yang menghasilkan 8 biji donat yang molek, tak besar sangat dan tak kecik sangat. Kira kalau taruk kat piring, nampak tertib dan senonoh lah kata orang.
Resipi asal guna tepung roti sebenarnya. Tapi apa ada kesah, kita buat dia, betul tak. Guna tepung gandum pun jadi wakk, lembut dan gebu. Tapi che mat dari dulu, kalau donat agak kurang suka salut gula. Lebih suka donat togel dan makan dengan sambal tumis. Tapi yang ni kita taburlah gula kastor sikit, kalau suka boleh gaulkan gula tadi dengan serbuk kayu manis, tapi toksah taruk banyak2 serbuk kayu manis tu, sikit ajer, buat ambik rasa, Terlebih nanti dah rasa macam jamu pulak. Mesti ada yang tanya, apsal donat che mat tu lubang dia sempit, kecik sangat. Yang tu terpulang lah yea, nak lobang besar ke, kecik ke, tak kesah, janji ada lobang, Mula2 tu lubang dia besar juga, tapi bila dah kembang, dia jadi sempit pulak...haha, gasak lah kan, yang penting donat tu lembut, gebu dan montok. Ok, meh che mat tuliskan resipi dia. kalau senang2 nanti boleh cuba buat...
BAHAN-BAHAN DOH :-)
1 1/3 cawan tepung gandum
1/2 camca teh garam
1/2 camca teh baking powder
1 camca teh rata instant yeast
1 kuning telur
90 ml susu segar @ susu penuh krim
1 1/2 camca besar mentega (kurang lebih 20 gram)
1/2 camca teh esen vanilla (optional)
BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Gula kastor secukupnya untuk menyalut donat
Sedikitt serbuk kulit kayu manis, jika suka
Minyak untuk goreng terendam
CARA MEMBUATNYA :-)
- Dalam mangkuk pengadun, masukkan kesemua bahan2 doh, kecuali mentega. Pasangkan hook untuk menguli doh dan putar hingga semua bahan2 rata, sebati dan menjadi doh. Gunakan kelajuan perlahan. Masukkan mentega, putar pada kelajuan sederhana untuk 5 - 6 minit hingga mendapat doh yang lembut dan tidak melekat di mangkuk adunan. Keluarkan doh, uli sekejap dan taruk dalam bekas dan tutup dengan plastik cling. Perap sejam.
- Keluarkan doh, tumbuk untuk membuang udara dan tekan2 sedikit biar leper. Potong kepada 8 bahagian sama besar. Bulat2kan setiap bahagian dan susun dalam dulang yang telah ditabur sedikit tepung, atau boleh letak atas kertas minyak. Buat hingga siap dan perap 45 minit.
- Kemudian buat lubang pada donat, celup jari telunjuk ke dalam sedikit tepung dan cucuk bahagian tengahnya agar donat berlubang, Buat hingga selesai dan rehatkan 15 minit, sementara kita panaskan minyak untuk menggoreng terendam.
- Pastikan minyak jangan terlalu panas, dan biar pada api kecil. Goreng donat tadi, che mat goreng 4 biji sekali. Biarkan dia masak dalam 2 minit, kemudian terbalikkan dan masak lagi sekejap. Bila kuning keemasan, boleh angkat dan toskan minyaknya. Buat kaedah sama dengan baki donat tadi. Bila selesai, bolehlah salutkan donat dengan gula kastor, kalau suka aroma kayu manis, boleh tambah sedikit serbuk kayu manis dalam gula kastor tadi sebelum kita salut pada donat. Boleh hidangkan. Selamat mencuba!
Klik pautan ini untuk baca sepenuhnya
No comments:
Post a Comment