Hiburan: May 14, 2020 at 04:45PM
Meskipun kecoh apabila ada dalam kalangan selebriti sebelum ini pernah menyuarakan pendapat mereka berkenaan bantuan kepada golongan artis, perkara itu secara tidak langsung memberi ikhtibar buat pengacara dan pelawak popular, Nabil.
Mengakui apa yang terjadi sebagai satu tauladan terbesar dalam hidup, Nabil akui kontroversi berkenaan turut memperbaiki tahap keimanannya.
"Saya sudah lama menerima hakikat bahawa kontroversi adalah sebahagian daripada kerjaya sebagai anak seni.
"Selagi bergelar artis, sampai bila-bilalah saya kena hadap perkara ini. Cuma apa yang saya nampak, kontroversi itu mendidik saya untuk lebih dekat dengan Tuhan dan al-Quran.
"Sebenarnya, saya bersyukur dengan isu yang tercetus itu. Secara tidak langsung, ia menjentik kesedaran dalam diri ini.
"Menurut seorang ustaz, jika kita seronok dengan pujian yang diberi dan kecewa dengan penghinaan, itu maknanya tahap keimanan kita masih lemah.
"Kenyataan itu bagaikan suatu tamparan buat saya. Ternyata, insiden itu mengubah perspektif saya untuk tidak terus hanyut dengan pujian dan rasa gundah apabila dikecam," katanya kepada BH Online.
Tambah Nabil lagi, meskipun industri hiburan terkesan dengan penularan COVID-19, namun beliau tetap bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus.
"Saya percaya dengan konsep bersedekah. Lagi banyak kita memberi, insya-Allah akan ada rezeki lain Tuhan bagi.
"Alhamdulillah, jadual kerja saya sangat padat walaupun dalam tempoh PKP.
"Malah, setiap hari sehinggalah hari kelapan Aidilfitri, ada sahaja program yang perlu dijayakan," katanya lagi.
Sebelum ini nama Nabil turut dihempit kontroversi berkenaan isu permohonan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk penggiat seni yang menjadi pertikaian netizen.
Nabil bagaimanapun tampil membuat permohonan maaf secara terbuka namun maaf yang dilafazkan itu dikatakan tidak ikhlas dan berniat sekadar mahu menyindir netizen.
Sumber: BH Online
Klik pautan ini untuk baca sepenuhnya
No comments:
Post a Comment