Resepi: April 13, 2020 at 08:56AM
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat siap masak awal, sebelum jam 10 pagi dah siap masak. Dah macam buat sarapan pagi pulak. Lepas tu mula lah rasa bosan, tak tau dah nak buat apa. Plan hari ni memang malas nak buat kuih-muih, rasa jemu pulak. Tapi tu lah, perancangan Allah ni tak sapa tau, tiba2 boleh terbuat kuih lompang pulak. Niat buat kuih lompang ni tercetus bila che mat tengok Kak Ummi Kuantan, buat kuih lompang pandan di FB beliau. Apa, tak kenal sapa Kak Ummi Kuantan? Kalau generasi dulu zaman blog masakan tengah hot, nama kak ummi ni antara nama2 blogger masakan yang ternama, ramai orang kenal dan pernah menghiasi dada2 majalah masakan tempatan. Tapi sekarang ni dia dah tak aktif lagi berblog, kecuali sekali sekala di FB. Kita orang tetap masih berhubung macam dulu juga...
Resipi kuih lompang yang che mat bikin ni memang senang dan in sha Allah tak gagal, kalau kita buat ikut resipi betul2 dan tak derhaka. Resipi asal yang Kak Ummi kongsikan agak banyak, boleh dapat dalam 26 biji. Tapi che mat buat 1/2 dari resipi asal dan dapat 13 biji. Tu pun guna cawan teh cina yang biasa tu. Kalau guna cawan teh cina yang jenis tembikar dan bersaiz kecil sikit, mungkin boleh dapat 20 biji. Dan resipi asal juga menggunakan jus daun pandan, tapi che mat nak buat warna warni, jadi kita guna air biasa saja. Cuma masa kukus tu, dalam air kukusan, letak lah 2-3 helai daun pandan yang disimpul, untuk mendapat aroma daun pandan pada kuih lompang kita nanti. Kalau nak mencuba, che mat kongsikan resipi dia kat bawah ni (resipi kat bawah ni akan menghasilkan 13 biji kuih lompang, kalau nak buat banyak boleh kali dua kan resipi). Apa2 pun terima kasih Kak Ummi...
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan tepung beras (che mat guna cap teratai)
1 camca besar rata tepung ubi
1 1/4 cawan air
1 camca teh air kapur
1/4 cawan gula (che mat kurangkan 1 camca besar)
1/4 camca teh garam
Beberapa titik pewarna makanan merah, hijau dan kuning
BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Kelapa parut putih secukupnya
Sedikit garam
2 - 3 helai daun pandan, disimpul
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan air dalam kukusan dan masukkan daun pandan. Balut penutup kukus dengan tuala dapur bersih. Sapu 13 acuan kuih lompang dengan sedikit minyak makan dan ketepikan. Masukkan kesemua bahan2 untuk kuih lompang ke dalam mangkuk besar, kecuali pewarna makanan. Kacau rata dengan whisk hingga sebati dan gula hancur, tapis.
- Bahagikan kepada 4 bahagian, 3 bahagian dengan sukatan 100 ml setiap 1 dan 1 bahagian lagi dibiarkan pada warna asal iaitu putih (warna putih akan menghasilkan 4 biji kuih lompang, dan warna2 lain akan menghasilkan 3 biji kuih lompang). Warnakan setiap satu sukatan yang 100 ml tadi dengan warna merah, hijau dan kuning. Kacau rata dan ketepikan.
- Panaskan acuan kuih lompang dalam kukus selama 2 minit. Kemudian tuangkan adunan2 tadi ke dalam acuan kuih lompang, jangan tuang sampai penuh sangat, agak2 lah yea. Pastikan sebelum dituang, adunan tadi kita kacau dulu. Kukus selama 20 - 25 minit, jangan dibuka tudung kukus untuk mengelakkan lesung pipit pada kuih lompang terbantut. Bila masak, sejukkan dulu dan boleh keluarkan dari acuan. Hidangkan dengan kelapa parut putih yang telah digaul dengan sedikit garam. Kelapa parut tadi boleh juga dikukus sebentar agar tahan lebih lama. Selamat mencuba!
Klik pautan ini untuk baca sepenuhnya
No comments:
Post a Comment